AO3 News

Post Header

Published:
2017-11-22 11:50:55 -0500
Original:
Automatically hiding spam works
Tags:

Sejak beberapa minggu lalu, Archive of Our Own – AO3 (Arkib Milik Kita) telah mengalami masalah mengenai berbilang karya spam yang direka untuk mengiklankan siaran langsung untuk acara-acara sukan. Kami telah mengambil beberapa langkah untuk menangani karya-karya spam ini, dan dalam beberapa hari akan datang, kami akan mengambil satu lagi langkah: menyembunyikan karya spam yang dikenal pasti sebagai spam oleh perkhidmatan pengesanan spam kami.

Kami telah menggunakan pengesan spam ini di belakang tabir sejak beberapa lama, dan ia mempunyai kadar ketepatan sebanyak 99.3% semasa mengenal pasti karya dan komen spam di AO3. Ini bermakna terdapat kemungkinan kecil bahawa beberapa karya bukan spam akan silap ditandakan sebagai spam.

Sekiranya karya anda ditanda sebagai spam, kami akan menghantar e-mel untuk memberitahu anda. Pasukan Aduan kami akan memeriksa semula karya anda secepat mungkin dan karya anda akan dipaparkan semula sekiranya ia bukan iklan spam. Karya tidak akan diperiksa untuk pelanggaran Syarat-Syarat Perkhidmatan yang lain semasa ia dalam senarai giliran spam.

Kami memohon maaf kepada mana-mana pengguna yang mendapati bahawa karya mereka silap ditanda sebagai spam, dan kepada semua pengguna yang sedang menunggu untuk kami menyemak dan memenuhi permintaan jemputan mereka. Kami faham bahawa situasi ini agak mengacaukan, tetapi langkah ini adalah penting untuk memastikan bahawa kami boleh memberi pengalaman yang bebas spam kepada semua pengguna kami.

Terima kasih kerana kesabaran anda, dan sekiranya anda melihat sebarang spam yang telah terlepas dari jaringan kami, sila laporkan kepada pasukan Aduan!